Thursday, May 21, 2009

RAHSIA KEJAYAAN OPRAH WINFREY




Oprah Winfrey, di dalam satu artikel ( diolah dari http://evancarmichael.com/) menyatakan kejayaannya bukanlah mudah. Setiap kejayaan pasti disulami pelbagai cubaan dan dugaan. Dilahirkan pada Januari 1954 di Kosciusko, Mississippi dan dibesarkan oleh neneknya. Di situlah timbulnya inspirasi gadis itu di dalam bidang penyiaran. Neneknya sentiasa memberi semangat kepadanya untuk membaca sekuatnya di dalam gereja.

Semenjak itulah dia meneruskan minatnya itu sehinggalah dia dihantar kepada ibunya. Namun disitu jugalah dia didera dan dibuli saudara-maranya sehingga dia melarikan diri dan ditahan di pusat pemulihan remaja. Selepas itu dia diserahkan kepada ayahnya di Nashville yang merupakan seorang usahawan. Ayahnya sangat garang dan mengarah Oprah menulis laporan berkenaan buku-buku yang dibacanya setiap minggu. Semasa di universiti, dia banyak bekerja di stesen televisyen secara sambilan.

Dengan penuh kepayahan dia berjaya meniti tangga kejayaan dan menjadi warga Afrika-Amerika yang terkaya pada abad ke 20 ini. Pada masa ini dia menggunakan kekayaannya untuk siarannya “Oprah Winfrey Show” dan membiayai kebajikan seluruh dunia termasuk persekolahan kanak-kanak perempuan di Afrika Selatan. Apakah rahsia kejayaannya?

1. Fokus kepada matlamat – kata Oprah, “Anda adalah apa yang anda percaya.” Dia memfokuskan kariernya di dalam bidang penyiaran yang diminatinya. Di dalam setiap rancangannya, dia mencipta kelainan.

2. Keupayaan mengatasi kesusahan – Pada waktu kecil, dia sangat menderita dan dari situlah dia mempelajari setiap kepayahan perlu diatasi dengan pelbagai cara. Dengan pengalamannya itu, dia berjaya mengatasi kepayahan di dalam bidang penyiaran

3. Keupayaan mengenalpasti dan menggunakan peluang – “Saya tidak mempercayai satu kebetulan,” kata Oprah. Daripada rancangan bual bicara, berlakon dan menggunakan internet untuk mengenalkan syarikatnya, dia mendengar kata hatinya untuk terus menceburkan diri dalam pelbagai perniagaan.

4. Bertanggungjawab kepada orang lain – Dia banyak terlibat di dalam kebajikan masyarakat di seluruh dunia. Dia percaya tanpa peminatnya, dia tidak akan berjaya sedemikian rupa.

5. Mengikut minat – Semenjak dia menyedari dirinya begitu berminat di dalam bidang penyiaran, dia menggunakan seluruh tenaganya untuk berjaya di dalam bidang itu. Dia sangat suka berkomunikasi dengan orangramai.

Sehingga kini, dia masih meneruskan usaha mengatasi penderaan dan kemiskinan. Oprah kini menjadi seorang yang sangat berpengaruh, dihormati, dikagumi dan sangat berjaya.

Pengajaran: Sebagai usahawan muslim, sifat kesederhanaan dan suka bersedekah menyebabkan Allah terus memberkati rezeki. Kekayaan akan terus bertambah dan ingatlah, setiap pemberian tidak menyebabkan kepapaan malah sebaliknya. Kisah di atas dapat memberi inspirasi buat usahawan untuk terus berjaya.









No comments:

Post a Comment